Mengapa ESP32 Kini Menjadi Pilihan Berbanding Arduino UNO

Dalam pembelajaran elektronik, Arduino UNO sering menjadi pilihan awal kerana mudah digunakan dan banyak bahan rujukan. Namun, untuk murid yang ingin bergerak ke arah projek moden seperti Internet of Things, automasi pintar dan robotik berhubung Internet, ESP32 lebih relevan untuk dipelajari.

ESP32 hadir dengan Wi-Fi dan Bluetooth terbina dalam, manakala Arduino UNO memerlukan modul tambahan untuk fungsi sambungan. Ini menjadikan ESP32 lebih sesuai dengan keperluan projek digital masa kini. 

Dihasilkan oleh Espressif Systems dari China sejak 2016, arkitektur ESP32 ditawarkan dalam format sumber terbuka membolehkan pembangun lain seperti NodeMCU, Sparkfun dan Adafruit menawarkan versi mereka sendiri.

Dari sudut PdP, ESP32 memberi peluang kepada murid membina projek yang lebih dekat dengan dunia sebenar. Contohnya, murid boleh membina sistem pemantauan suhu bilik darjah yang menghantar data ke telefon, projek lampu pintar, penggera keselamatan mini atau kawalan motor melalui aplikasi mudah alih.

ESP32 juga menyokong pelbagai antaramuka seperti UART, SPI, I2C, PWM dan sensor sentuhan kapasitif, menjadikannya fleksibel untuk eksperimen elektronik dan STEM. Mari kita lihat perbandingan ESP32 berbanding Arduino UNO.

AspekESP32Arduino UNO
Tahap kesesuaianSesuai untuk projek moden dan IoTSesuai untuk asas elektronik
PemprosesLebih laju, biasanya dual-coreLebih perlahan, single-core
KelajuanSehingga 240 MHz16 MHz
Sambungan Wi-FiAda, terbina dalamTiada, perlu modul tambahan
BluetoothAda, terbina dalamTiada
Bilangan pin I/OLebih banyak dan fleksibelLebih terhad
Analog inputBanyak pin ADC6 pin analog
Output analog sebenarAda DAC pada sesetengah pinTiada DAC sebenar, guna PWM
Voltan operasi3.3V5V
Mudah untuk pemulaSederhana, perlu faham 3.3VSangat mudah untuk pemula
Sokongan Arduino IDEYaYa
Projek sesuaiIoT, sensor pintar, robotik, automasi, kawalan melalui telefonLED, butang, sensor asas, motor mudah
KosBiasanya murah dengan fungsi lebih banyakBiasanya lebih mahal berbanding klon ESP32
Kelebihan utamaWi-Fi, Bluetooth, laju, sesuai projek dunia sebenarMudah, stabil, banyak tutorial asas
Kekurangan utamaPerlu berhati-hati dengan voltan 3.3V, sensor perlu serasiTiada Wi-Fi/Bluetooth dan memori terhad

Arduino UNO masih sesuai untuk asas elektronik seperti LED, butang dan sensor mudah. Namun, ESP32 memberi nilai tambah kerana murid dapat belajar konsep mikropengawal, rangkaian, komunikasi tanpa wayar dan IoT dalam satu papan pembangunan.

Guru boleh memulakan dengan aktiviti mudah seperti menyalakan LED, kemudian menaik taraf kepada projek kawalan LED melalui Wi-Fi. Seterusnya, fokus kepada projek inovasi digital yang lebih canggih dan mencabar.

Kesimpulannya, ESP32 bukan sekadar pengganti Arduino UNO, tetapi platform yang lebih bersedia untuk pembelajaran elektronik abad ke-21. Guru boleh memperkenalkannya secara berperingkat agar murid memahami asas dahulu sebelum membina projek pintar.