Dunia Robotik 2026: Panduan Lengkap Pertandingan & Strategi untuk Sekolah di Malaysia – Bhg. 1

BAHAGIAN 1


Kebanyakan pertandingan robotik kini menuntut murid menguasai Computational Thinking yang lebih tinggi. Pertandingan bukan lagi sekadar tentang siapa robot paling laju, tetapi siapa robot paling “pintar”.

Berikut adalah senarai jangkaan pertandingan robotik utama di Malaysia bagi tahun 2026 dan perkara yang perlu anda tahu:

1. The “Grand Slam”: NRC & NROC (Laluan ke WRO)

Ini adalah “Piala Dunia” bagi robotik sekolah di Malaysia. Laluan peringkat negeri dan kebangsaan serta sokongan padu host tempatan membentuk pasukan Malaysia yang kompetitif bersaing di peringkat dunia.

Dua platform ditawarkan iaitu National Robotics Competition (NRC) untuk sekolah-sekolah KPM manakala National Robotics Open Competition (NROC) untuk sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan MRSM.

  • Untuk Siapa?: Sekolah yang mahukan ekosistem robot yang boleh menyertai pelbagai pertandingan lain serta digunakan dalam jangka masa yang lama.
  • Jangkaan Tarikh: NRC Negeri – Jun-Ogos 2026. NROC – November 2026.
  • Format/Kategori: Biasanya menggunakan platform LEGO Education (Spike Prime/Mindstorms). Tema dan format telah diumumkan.
  • Peringkat Tertinggi: Pemenang NRC DAN NROC akan mewakili Malaysia ke World Robot Olympiad (WRO).
  • Tips Guru: Persaingan sangat sengit. Fokuskan murid pada ketepatan (precision) dan pematuhan peraturan yang ketat.
  • Info: NRC https://nrc.sasbadi.com, NROC https://nroc.sasbadi.com

2. Laluan TVET & Teknikal: FIRA Malaysia Cup

Pertandingan ini sangat besar dalam kalangan Politeknik tetapi mempunyai kategori sekolah yang sangat kompetitif (MyBot Youth).

Berkonsepkan sukan robot selain adaptasi teknologi pintar dan AI dalam kategori-kategori tertentu.

  • Untuk Siapa?: Murid-murid dalam bidang TVET/teknikal serta para pelajar politeknik. Juga untuk murid yang minat teknikal hands-on dan mekatronik sumber terbuka (bukan sekadar kit pasang siap).
  • Jangkaan Tarikh: April-Jun 2026.
  • Format/Kategori: 11 kategori utama (25 subkategori) melibatkan sukan robot, autonomous car, cabaran drone dan inovasi.
  • Peringkat Tertinggi: Pemenang edisi ini berpeluang mewakili Malaysia ke FIRA RoboWorld Cup 2026 yang dijadualkan berlangsung di Kanada.
  • Tips Guru: Latih murid menguasai mekanikal, elektronik dan drone dengan betul. Utamakan kerja berpasukan dan keselamatan serta persediaan strategi inovatif untuk kategori sukan robot. 
  • Info: FIRA Malaysia Chapter

3. Ekosistem Kompetitif USA: VEX IQ & VRC

Selepas era pandemik, VEX semakin mendapat tempat di sekolah swasta dan antarabangsa, namun sekolah kerajaan juga boleh menyertai.

Pertandingan ini mengajar murid soft skills dan diplomasi kerana mereka perlu merangka strategi dengan pasukan dari sekolah lain di tengah gelanggang.

  • Untuk Siapa?: Murid sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Terbuka juga kepada sekolah biasa.
  • Jangkaan Tarikh: Februari 2026 (Pendaftaran ditutup 24 Januari).
  • Kategori/Tahap: Cabaran VIQRC untuk robot VEX IQ. Kami tiada maklumat untuk kategori lain.
  • Peringkat Tertinggi: Pemenang berpeluang menyertai VEX Robotics World Championship di Amerika Syarikat (USA).
  • Tips Guru: Galakkan pemikiran kolaboratif, bina strategi kerjasama antara pasukan, uji kestabilan robot dan latih pengaturcaraan adaptif untuk cabaran skil dan perlawanan.
  • Info: RobotEvents Malaysia

4. Liga Premier: FIRST Robotics (FLL/FRC/FTC)

Ini adalah “Liga Ivy” dalam dunia robotik antarabangsa. Mempunyai komuniti yang besar di peringkat global. Murid bukan sahaja belajar coding, mereka belajar menjadi usahawan kecil. 

Walaupun kos penyertaan tinggi, ia adalah platform paling prestij untuk murid membina portfolio bagi permohonan biasiswa kejuruteraan universiti luar negara.

  • Untuk Siapa?: Sekolah-sekolah yang telah matang program pembangunan robotiknya dan mahukan cabaran baharu.
  • Jangkaan Tarikh: April-November 2026
  • Kategori/Tahap: FIRST Lego League (FLL), FIRST Robotics Competition (FRC) dan FIRST Tech Challenge (FTC). Di Malaysia FLL dianjurkan di peringkat terbuka kebangsaan oleh SASBADI. FTC dan FRC pula dikendali oleh Penang Science Cluster (PSC) dan ROBOTICIST.
  • Peringkat Tertinggi: FIRST mempunyai jaringan biasiswa bernilai lebih $80 juta USD dari universiti terkemuka dunia. Peluang terbaik untuk bakal pemenang peringkat antarabangsa.
  • Tips Guru: Fokus pada reka bentuk modular, uji semua kod dan mekanikal, bina soft skills dan sediakan dokumentasi teknikal untuk meningkatkan prestasi serta pemarkahan global. 
  • Info: FLL https://fll.sasbadi.com, ROBOTICIST https://www.instagram.com/firstglobal.malaysia, PSC FIRSTTechChallengeMalaysia

Bersambung.