apple education

6 Aktiviti Everyone Can Code Menggunakan Swift Playground pada iPad

Guru wanita bertudung merah jambu dan berbaju kurung hijau kebiruan menggunakan iPad, dikelilingi enam kad konsep arahan, fungsi, gelung, syarat, About Me dan SwiftUI

Cikgu pernah memperkenalkan pengaturcaraan kepada murid yang belum pernah menulis satu baris kod?

Ada yang teruja apabila melihat hasil program pertama mereka. Tetapi ada juga yang terus menganggap coding sesuatu yang sukar kerana perlu mengingat arahan, simbol dan struktur bahasa pengaturcaraan.

Sebenarnya, pembelajaran coding boleh dimulakan dengan aktiviti yang menyeronokkan.

Melalui inisiatif Everyone Can Code daripada Apple, murid boleh mempelajari konsep pengaturcaraan menggunakan Swift Playground pada iPad. Mereka bukan sekadar menaip kod, tetapi melihat bagaimana arahan menggerakkan watak, menyelesaikan teka-teki dan akhirnya menghasilkan aplikasi sendiri.

Lebih menarik, pendekatan ini boleh digunakan oleh guru yang belum mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan aplikasi.

Jadi, bagaimana cikgu boleh memulakannya dalam kelas?

Berikut enam aktiviti Everyone Can Code yang boleh disusun daripada tahap asas sehingga murid menghasilkan antara muka aplikasi.

Apa Itu Everyone Can Code dan Swift Playground?

Everyone Can Code ialah inisiatif pendidikan Apple yang menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk memperkenalkan konsep pengaturcaraan kepada murid.

Antara sumbernya ialah Everyone Can Code Puzzles, yang mengandungi pembelajaran tentang arahan, fungsi, gelung, pemboleh ubah dan kod bersyarat.

Sementara itu, Swift Playground ialah aplikasi percuma untuk iPad dan Mac yang membolehkan pengguna mempelajari bahasa pengaturcaraan Swift melalui latihan interaktif.

Dalam aktiviti pengenalan, murid akan bertemu watak bernama Byte dan menggunakan arahan Swift untuk menyelesaikan cabaran.

Apabila sudah bersedia, mereka boleh meneroka pembangunan aplikasi menggunakan SwiftUI.

Cikgu boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Apple Education Malaysia dan Everyone Can Code Projects.

Sebelum kelas, pastikan Swift Playground telah dipasang pada iPad murid. Jika peranti diurus oleh sekolah, pemasangan mungkin memerlukan bantuan pentadbir ICT.

1. Misi Byte — Belajar Memberikan Arahan yang Tepat

Tempoh cadangan: 20 minit
Konsep: Arahan dan urutan (sequence)

Mulakan dengan bahagian Learn to Code atau tutorial Get Started with Code dalam Swift Playground.

Murid akan menyelesaikan teka-teki dengan memberikan arahan kepada Byte, contohnya bergerak ke hadapan, berpusing dan mengumpulkan permata.

Cikgu boleh meminta murid merancang laluan sebelum menjalankan kod.

Seterusnya, minta mereka membandingkan hasil sebenar dengan jangkaan.

Jika Byte tersalah jalan, murid perlu mengenal pasti arahan yang perlu dibetulkan.

Hasil pembelajaran: Murid boleh menyusun arahan mengikut urutan yang betul dan menerangkan mengapa susunan arahan mempengaruhi hasil program.

Idea pengayaan: Minta murid mencari penyelesaian menggunakan bilangan arahan yang lebih sedikit.

2. Cipta Fungsi — Jadikan Kod Lebih Tersusun

Tempoh cadangan: 20 minit
Konsep: Fungsi (functions)

Selepas memahami arahan asas, perkenalkan konsep fungsi.

Terangkan bahawa fungsi membolehkan beberapa arahan dikumpulkan dan diberikan satu nama supaya boleh digunakan semula.

Dalam Everyone Can Code Puzzles, Apple turut menggunakan contoh rutin pergerakan robot bagi memperkenalkan konsep fungsi.

Cikgu boleh meminta murid mencari satu urutan pergerakan yang berulang dalam teka-teki.

Kemudian, bimbing mereka membina fungsi untuk mewakili urutan tersebut menggunakan latihan Swift Playground yang bersesuaian.

Minta murid membandingkan kod sebelum dan selepas penggunaan fungsi.

Hasil pembelajaran: Murid memahami fungsi sebagai kaedah mengurus kod supaya lebih tersusun dan boleh digunakan semula.

Idea pengayaan: Minta murid memberikan nama fungsi yang jelas berdasarkan tugasannya.

3. Cabaran Gelung — Ulang Tanpa Menaip Banyak Kali

Tempoh cadangan: 20 minit
Konsep: Gelung for

Bayangkan Byte perlu bergerak ke hadapan sebanyak lima kali.

Adakah murid perlu menulis arahan yang sama berulang kali?

Gunakan situasi ini untuk memperkenalkan gelung.

Dalam Swift Playground, murid boleh menggunakan struktur pengulangan untuk menjalankan arahan beberapa kali.

Cikgu boleh menyediakan cabaran yang memerlukan murid mengenal pasti corak pergerakan sebelum menulis kod.

Selepas menjalankan program, bincangkan perbezaan antara kod yang panjang dengan kod yang menggunakan gelung.

Hasil pembelajaran: Murid dapat mengenal pasti corak berulang dan menggunakan gelung untuk menjadikan kod lebih ringkas.

Idea pengayaan: Minta murid mengubah bilangan pengulangan dan meramalkan kesannya terhadap pergerakan Byte.

4. Cabaran Syarat — Ajar Byte Membuat Keputusan

Tempoh cadangan: 25 minit
Konsep: Kod bersyarat (conditional code)

Tidak semua masalah boleh diselesaikan menggunakan urutan dan gelung sahaja.

Ada keadaan yang memerlukan program membuat keputusan berdasarkan sesuatu syarat.

Perkenalkan konsep if melalui contoh mudah.

Jika Byte berada di atas permata, apakah tindakan yang patut dilakukan? Bagaimana pula jika syarat itu tidak dipenuhi?

Bimbing murid meneroka teka-teki yang melibatkan syarat dan melihat bagaimana perubahan keadaan mempengaruhi pelaksanaan kod.

Minta murid menerangkan logik keputusan menggunakan ayat sendiri sebelum menulis arahan.

Hasil pembelajaran: Murid boleh menjelaskan bagaimana kod bersyarat membantu program memilih tindakan berdasarkan keadaan tertentu.

Idea pengayaan: Kaitkan konsep ini dengan lampu isyarat pintar, sensor atau sistem amaran automatik.

5. Kenali SwiftUI — Bina Aplikasi About Me

Tempoh cadangan: 35 minit
Konsep: Asas aplikasi, teks dan paparan antara muka

Selepas mencuba teka-teki pengaturcaraan, murid boleh beralih kepada projek aplikasi yang lebih kreatif.

Apple menyediakan contoh aplikasi About Me dalam galeri Swift Playground.

Melalui projek ini, murid boleh meneroka hubungan antara kod SwiftUI dengan paparan aplikasi.

Mulakan dengan membuka contoh aplikasi About Me dan mengaktifkan pratonton.

Kemudian, minta murid mengubah teks, warna atau elemen paparan yang disediakan.

Setiap kali perubahan dibuat, murid perlu memerhatikan hasilnya pada pratonton aplikasi.

Perkongsian pendidik dalam Apple Education Community turut menunjukkan bagaimana About Me boleh digunakan untuk aktiviti pengenalan dan pembinaan komuniti bilik darjah.

Hasil pembelajaran: Murid memahami bahawa perubahan kod boleh mengubah kandungan dan persembahan antara muka aplikasi.

Idea pengayaan: Daripada menggunakan maklumat peribadi sebenar, murid boleh membina profil watak fiksyen, tokoh sejarah atau karakter daripada buku yang dipelajari.

6. Build with Stacks and Shapes — Hasilkan Avatar Digital

Tempoh rasmi projek Apple: 60 minit
Konsep: SwiftUI, stacks, shapes dan modifiers

Aktiviti terakhir memperkenalkan murid kepada pembinaan antara muka aplikasi yang lebih visual.

Apple menyediakan projek rasmi Build with Stacks and Shapes melalui Everyone Can Code Projects.

Dalam projek ini, murid menggunakan bentuk geometri seperti bulatan, segi empat tepat dan bentuk kapsul untuk menghasilkan potret digital.

Mereka turut meneroka VStack, HStack dan ZStack serta pengubah suai untuk mengawal saiz, warna dan kedudukan bentuk.

Cikgu boleh membimbing murid menghasilkan avatar bertemakan adiwira digital, watak permainan atau karakter pendidikan.

Projek ini juga mempunyai hubungan yang menarik dengan Matematik dan seni visual kerana melibatkan bentuk, ukuran, susunan lapisan dan koordinasi ruang.

Hasil pembelajaran: Murid boleh membina reka bentuk visual ringkas menggunakan komponen SwiftUI dan menerangkan fungsi susunan serta pengubah suai dalam kod.

Idea pengayaan: Anjurkan galeri digital ringkas supaya murid membentangkan avatar masing-masing serta menerangkan kod yang digunakan.

Panduan langkah demi langkah boleh didapati melalui Build with Stacks and Shapes.

Bagaimana Cikgu Boleh Menyusun Keenam-enam Aktiviti?

Enam aktiviti ini mengambil masa sekitar 180 minit atau tiga jam, berdasarkan cadangan tempoh PdP di atas dan tempoh rasmi Apple bagi projek terakhir.

Cikgu tidak perlu melaksanakannya dalam satu sesi.

Untuk murid yang baharu mengenali coding, mulakan dengan arahan, fungsi dan gelung sebelum memperkenalkan syarat.

Aktiviti About Me dan Build with Stacks and Shapes pula boleh dijadikan projek pengayaan selepas murid membina keyakinan.

Bagi murid Tingkatan 1 hingga 3, aktiviti tersebut boleh menyokong penerokaan konsep algoritma, struktur kawalan, penyelesaian masalah dan pemikiran komputasional.

Namun, jika digunakan sebagai pentaksiran mata pelajaran Asas Sains Komputer, cikgu perlu memadankannya dengan standard pembelajaran DSKP yang berkaitan.

Pentaksiran Ringkas: Tunjuk, Terang dan Baiki

Sebelum menamatkan aktiviti, minta murid menunjukkan hasil program mereka kepada rakan.

Mereka perlu menerangkan tiga perkara:

  1. Apakah masalah yang cuba diselesaikan?
  2. Apakah konsep pengaturcaraan yang digunakan?
  3. Apakah kesilapan yang ditemui dan bagaimana mereka membetulkannya?

Kaedah ini membantu cikgu menilai kefahaman murid, bukan hanya melihat sama ada teka-teki berjaya diselesaikan.

Cikgu juga boleh meminta murid merakam demonstrasi ringkas atau berkongsi tangkap layar kerja mereka melalui platform sekolah yang diluluskan.

Dari Projek SwiftUI ke Swift Student Challenge 2027

Seterusnya, galakkan murid anda menyertai Swift Student Challenge 2027, pertandingan pembangunan aplikasi tahunan anjuran Apple yang membuka penyertaan pada 8–28 Februari 2027.

Mungkin cadangan aktiviti asas diatas dapat mendorong murid membangunkan idea app inovatif mereka. Masih sempat untuk menerokai SwiftUI menerusimodul yang disediakan Apple.

Murid Malaysia berumur sekurang-kurangnya 16 tahun yang memenuhi syarat kelayakan boleh menghantar aplikasi kreatif mereka menggunakan Swift Playground atau Xcode. Inilah peluang untuk membawa idea kecil daripada bilik darjah ke pentas antarabangsa!

Maklumat lanjut: https://developer.apple.com/swift-student-challenge/

Akhir Kata

Pembelajaran pengaturcaraan tidak semestinya bermula dengan projek aplikasi yang besar.

Kadangkala, satu teka-teki kecil yang berjaya diselesaikan sudah cukup untuk membina keyakinan murid.

Melalui Everyone Can Code dan Swift Playground, cikgu boleh memperkenalkan konsep asas seperti arahan, fungsi, gelung dan syarat sebelum membawa murid kepada pembangunan aplikasi menggunakan SwiftUI.

Yang menarik, semua ini boleh dimulakan menggunakan iPad tanpa memerlukan murid terus menggunakan persekitaran pembangunan aplikasi profesional.

Mulakan dengan membantu Byte bergerak beberapa langkah. Siapa tahu, daripada situ murid mula mendapat idea untuk membina aplikasi mereka sendiri.

— Cikgu Siber

Rujukan Rasmi

  1. Apple Malaysia. K–12 Education — Learn to Code.
    https://www.apple.com/my/education/k12/learn-to-code/
  2. Apple Education. Everyone Can Code Puzzles, Apple Books, 2019.
    https://books.apple.com/my/book/everyone-can-code-puzzles/id1481279489
  3. Apple Education Community. Everyone Can Code: Projects.
    https://education.apple.com/learning-center/T048639A-en_EMEIA
  4. Apple Education Community. Build with Stacks and Shapes.
    https://education.apple.com/learning-center/T049529A-en_EMEIA
  5. Apple Education Community — Forum. Swift Playgrounds: The Perfect Coding Tool for Back-to-School Community Building.
    https://education.apple.com/resource/250013060
  6. Apple Support. Learn to Code in Swift Playground on iPad.
    https://support.apple.com/guide/playgrounds-ipad/learn-to-code-itca964ba80c/ipados